Memori di Penang I  

Tuesday, July 8, 2008

Di Penang, aku berjumpa dengan mereka… mereka yang memandang kehidupan sebagai satu sandiwara… sandiwara yang penuh kelucuan, kesetiaan rakan taulan, keutuhan perhubungan… aku mengagumi mereka… tanpa segan silu, mencurah bakti dan menghulur salam persahabatan… malah, mengerti akan berlelucon, tanpa mengabai akan adab pergaulan sesama rakan… mereka momo, mimi, dan mumu… seperti biasa, bukan nama sebenar… :-)

Kebaikan dan persahabatan yang terjalin bukan yang ingin ku perkatakan… bahkan watak-watak sampingan yang memberi nyawa kepada watak-watak utama itu yang ingin ku kongsi… iaitu peminta sedekah.

Kami bergelumang dengan makanan, bukan ku katakan sebagai mewah, namun cukup sekadar makanan pengalas perut yang memerlukan poket yang agak tebal… seduduk kami di situ, kurang dari 10 minit, seorang tua yang kudung kaki sebelahnya menghampir, meminta-minta barang sesen dua. Aku meneguhkan diri, untuk tidak memberi…

Kemudian, kurang dari 10 minit, perempuan tua, yang kurang sempurna anggota, datang meminta… sekali lagi ku meneguhkan diri, tidak memberi… dan begitulah, dalam beberapa minit, kami terus dihampiri dan dikunjungi dan aku terus meneguh diri dan mendegil diri untuk tidak mengasihani…

Akan tetapi, momo menghulur… tidak banyak… barang sesen dua… dan sentiasa memberi sekupang dua… aku hairan, aku disuapkan cerita dan madah sindiket-sindiket memerah dan memperguna mereka… lantas momo bercerita… sekiranya di bahagian depan sana, budak-budak yang sihat yang datang meminta. Dan yang ini, tidak mengapalah, mereka kurang sempurna semuanya.

Aku setuju memang ada sindiket yang kekadang sanggup mencacatkan orang kerahan mereka untuk meraih simpati kita. Dan ada juga, golongan peminta ini meraih keuntungan sehingga beratus ringgit sehari dan makin naik lemak untuk mencari rezeki dengan kudrat sendiri. Namun apa hak kita untuk tidak memberi… aku percaya, ada golongan yang benar-benar tidak mampu di luar sana. Aku juga percaya, ada anak-anak yatim yang sedang kelaparan di luar sana.

Kini, aku ingin mula menghulur… kepada yang memerlukan. Cuma satu ku berdoa, laknatullah kepada mereka yang mempergunakan golongan ini. Oh ya, ingin ku kongsi… suami rakan akak ku, dia akan menyuruh peminta sedekah itu duduk dan dipesankan makanan instead of dia memberikan duit kepada peminta sedekah itu. Mungkin ini juga cara yang baik… memberikan makanan daripada duit yang kita tidak tahu apa gunanya atau sekiranya ada sindiket mengambilnya.

Wallahualam…


0 comments: to “ Memori di Penang I

Design by Amanda @ Blogger Buster